Monday, 4 January 2016
ISLAMISASI AWAL DI PAHANG: SATU TINJAUAN TEORI!!!
Islam di Pahang mempunyai sejarah yang unik dan
tidak diketahui ramai. Sama ada dari sudut kedatangan
Islam, perkembangan dan kelansungannya hingga ke
hari ini. Beberapa penemuan kedatangan Islam di
Pahang telah dapat dikesan dan ia sebagai satu batu
loncatan kepada kajian yang lebih mendalam terhadap
sejarah kedatangan Islam, perkembangan dan
perjuangannya di Pahang.
Lantaran daripada itu, artikel ini akan melakukan
tinjauan mengenai Islamisasi di Pahang. Dengan
menggunakan dan menganalisis data data kepustakaan,
kajian mendapati terdapat beberapa kenyataan dan
bukti yang menunjukkan Islam datang ke Pahang
lebih awal daripada melalui Kesultanan Melayu
Melaka.
Kata kunci: Sejarah Islam, Islamisasi, Pahang,
Kesultanan Melayu Melaka
PENGENALAN
Islam telah lama bertapak di Malaysia dan telah
menjadi anutan sebilangan besar masyarakat di
dalamnya. Ini adalah berikutan proses Islamisasi
yang giat berlansung di Nusantara satu ketika
dahulu.
Walaupun proses Islamisasi ini berasaskan teori
yang berbeza-beza tetapi ia boleh dirangkumkan
untuk perbincangan secara umum.
Kedatangan Islam di Nusantara adalah dari Tanah
Arab, India, China dan Parsi [1] melalui pelbagai
cara antaranya seperti perdagangan, hubungan
diplomatik, kegiatan dakwah, perluasan kuasa dan
penghijrahan [1].
Kedatangan Islam daripada teoriteori tersebut
boleh dilihat daripada beberapa sisi seperti
tahap-tahap yang berlaku dalam proses Islamisasi.
Dakwah Islam yang datang daripada luar telah
masuk ke Nusantara, akan tetapi ruang lingkup dan
golongan sasarnya agak terhad (seperti kepada
pemerintah dan pembesar atau masyarakat yang
berhampiran laut). Namun proses penyebaran
secara besar-besaran adalah dilakukan oleh tenaga-
tenaga tempatan sendiri yang menyebabkan
perkembangan Islam berlaku secara pesat serta
dapat mengatasi pengaruh agama-agama
sebelumnya [2].
Mungkin atas alasan ini Islamisasi yang dilakukan
Kesultanan Melayu Melaka dilihat terkehadapan
kerana peranan dan usahanya sebagai pusat dalam
penyebaran Islam di Tanah Melayu. Walaupun
begitu, perlu diakui juga bahawa setiap kerajaan,
negara, atau negeri menerima Islam melalui cara
yang berbeza.
Begitu jugalah keadaan proses Islamisasi yang
berlaku dalam negeri-negeri di Malaysia seperti
Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Kemungkinan peranan sesebuah negeri dalam
menyebarkan agama secara aktif (terutama melalui
penaklukan dan perluasan kuasa) tidak begitu
ketara menyebabkan ia tenggelam dari sudut
fungsinya dalam perkembangan Islam bahkan
dari sudut sejarah Islamisasi yang berlaku terhadap
negeri tersebut.
Oleh kerana itu, artikel ini cuba melakukan analisis
dan tinjauan Islamisasi yang berlaku di Pahang yang
dilihat masih samar.
METODOLOGI KAJIAN
Tinjauan dilakukan dengan mengaplikasi metode
pengumpulan data yang sesuai, iaitu metode dokumentasi.
Metode ini akan digunakan untuk mencari data-data
yang berasaskan kepada penulisan dan dokumentasi
bertulis yang dapat memberikan berbagai keterangan,
yang dapat digunakan sebagai bukti atau keterangan
yang sahih tentang sesuatu kenyataan. Ia merangkumi
sumber sumber berbentuk buku-buku, jurnal, disertasi
dan tesis, kertas kerja, artikel, laporan-laporan, risalah
dan laman web yang berkait rapat dengan Islamisasi di
Pahang.
Dengan data-data kepustakaan tersebut analisis secara
diskriptif dilakukan untuk meperolehi hasil kajian yang
diperlukan. Kajian dilakukan dengan mendapatkan
maklumat maklumat kedatangan Islam di Pahang dan
menjadikannya sebagai teori asas Islamisasi awal di
Pahang.
PAHANG: SATU TINJAUAN SEJARAH
Pahang merupakan salah satu negeri yang terletak
di Semenanjung Malaysia. Ia berkeluasan 39,900
kilometer persegi menjadikannya negeri terbesar di
Semenanjung [3].
Pahang mempunyai sejarah yang unik terutamanya
dalam sejarah Islamisasi. Walau bagaimanapun oleh
kerana kurang diketengahkan berkenaan sejarah Islam
di Pahang membuatkannya tidak diketahui ramai.
Pahang sejak dahulu lagi telah diduduki oleh manusia
dan masyarakat. Bahkan pada zaman pra-sejarah
Pahang juga didiami oleh orang zaman batu [4,5].
Menurut Buyong Adil, pada masa sebelum Pahang
ditakluki Melaka, penduduk negeri tersebut adalah
rata ratanya orang Melayu hanya sedikit sahaja
orang Siam. Orang-orang Siam tersebut dipercayai
datang daripada daerah Ligor, negeri Patani, daerah
Teluban dan daerah-daerah lain yang berhampiran [6].
Selain itu, Pahang juga telah wujud sebagai satu
entiti politik sebelum wujudnya Melaka. Ini
berasaskan beberapa catatan pengembara yang
menyebut mengenai Pahang.
Contohnya rekod-rekod Cina pada abad ke-11 yang
menyatakan bahawa Pahang merupakan negeri di
bawah Kerajaan Sriwijaya. Pahang mengakui dan
mendapat perlindungan daripada Dinasti Ming [7].
Pahang juga pernah menjadi sebuah negeri di
bawah naungan Majapahit [8]. Selain itu Pahang
juga merupakan sebuah pusat perdagangan.
Mengenai kedatangan Islam di Pahang pula,
berdasarkan kebanyakan maklumat daripada
penulisan sejarah Malaysia, Islamisasi di Pahang
adalah melalui Kesultanan Melayu Melaka. Ini
adalah kerana Kesultanan Melayu Melaka
memainkan peranan penting dalam perkembangan
Islam di Asia Tenggara pada abad ke-15.
Melaka menyebarkan Islam antaranya melalui
perluasan kuasa. Perluasan daerah dan penaklukan
meliputi banyak negeri negeri termasuklah Pahang.
Berikutan daripada penaklukan tersebut agama
Islam turut tersebar di Pahang [9].
Catatan seumpama ini telah menjadi satu maklumat
sejarah yang tidak asing lagi bagi masyarakat Islam.
Namun begitu, ia tidak menghalang untuk dilakukan
satu tinjauan dan penilaian semula sejarah Islam di
Pahang. Ini berikutan wujudnya teori-teori lain
mengenai proses Islamisasi awal di negeri-negeri
Pantai Timur, khususnya Pahang.
TEORI ISLAMISASI DI PAHANG
Terdapat pelbagai teori kedatangan Islam ke Tanah
Melayu seperti Islam melalui perdagangan,
perkahwinan, pendakwah, peranan pembesar-
pembesar dan melalui peperangan.
Manakala pesoalan mengenai tempat bermulanya
Islam datang masih diperbincangkan. Penemuan-
penemuan yang menjadi bukti kedatangan Islam
adalah seperti kubur atau batu nisan yang dijumpai
di Tanjung Inggeris, Kedah bertarikh 290 Hijrah
(903 Masihi). Penemuan batu nisan bertarikh 1028
Masihi di Pekan, Pahang dan penemuan Batu
Bersurat bertarikh 1303 Masihi di Kuala Berang
menjadi bukti bahawa Islam telah datang dan
berkembang di Pantai Timur lebih awal [10].
Namun kajian yang mendalam mengenainya
masih lagi belum mencapai tahap yang memuas
kan. Pahang adalah salah satu negeri Pantai
Timur yang menjadi salah satu tempat yang
boleh dianggap mengalami proses Islamisasi
lebih awal daripada melalui Kesultanan Melayu
Melaka.
Oleh itu, kajian mengenai Islamisasi di Pahang
adalah wajar dan perlu. Bukti kedatangan Islam
di Pahang lebih awal hakikatnya didokong dengan
beberapa alasan dan bukti, sebagaimana berikut:
Pertama; negeri Pahang sebelum diperintah oleh
kerajaan melayu Melaka telah pun dilawati oleh
pengembara-pengembara dan penulis-penulis
berbangsa Arab dan China. Negeri itu telah
dikuasai oleh kerajaan Seri Wijaya (Palembang),
kemudian diperintah oleh raja-raja Ligor (Melayu)
yang dikuasai oleh Siam dan dalam kurun ke-14
Masihi di bawah kuasa kerajaan Majapahit [6].
Pengembara-pengembara Arab yang dimaksudkan
di sini dapat kita andaikan sebagai beragama Islam
kerana ketika itu Islam telah berkembang terutama
nya di negara-negara Arab. Tambahan pula
pengembara Arab yang beragama Islam sebagai
mana yang dimaklumi akan menjalankan tanggung
jawab mereka untuk berdakwah. Antara contoh
yang dapat dipetik di sini ialah perihal negeri Pahang
yang disebut oleh seorang pengembara Arab Mas’udi
dalam karangannya Muruj al-Dhahab [11]:
“Di-laut Kanderang ramai orangnya, termasoklah
orang yang disebut Fanjab yang berambut ikal dan
berbentuk badan yang ganjil rupa-nya. Mereka
menggunakan perahu kechil, dan datang datang
mengelilingi sabarang kapala yang tiba ka-tempat
mereka, dan mereka melepaskan (memanahkan)
sa-jenis anak panah yang ganjil dan berachun.
Diantara tempat orang-orang ini dengan negeri
Kalah adalah lombong-lombong timah dan gunong
-gunong yang mengandungi perak. Ada juga
lombong-lombong emas dan timah yang jarang
-jarang di-bongkar mengeluarkannya”
Menurut G. R. Tibbets perkataan Laut Kanderang
adalah merujuk kepada Laut China Selatan dan
Fanjab pula adalah Fanhan yang merujuk kepada
Panghang atau Panhang iaitu Pahang [12].
Kenyataan ini jelas menunjukkan Pahang telah
wujud dalam peta dunia sebelum wujudnya Melaka.
Oleh itu, Pahang antara negeri lebih awal terdedah
kepada sebarang aktiviti dakwah Islam.
Kunjungan-kunjungan orang berbangsa Arab
beragama Islam juga mengukuhkan bahawa aktiviti
penyebaran Islam di Pahang telah wujud sekitar kurun
ke-14.
Kedua; teori penyebaran Islam melalui laut merupa
kan antara teori yang diterima dalam merungkai
sejarah Islam di Alam Melayu. Teori ini dapat
dikaitkan dengan penyebaran Islam di negeri
Pahang.
Ini berikutan negeri Pahang merupakan sebuah
negeri yang makmur dan menjalankan aktiviti laut.
Perkara ini jelas disebut oleh Godinho de Eredia
yang menyatakan bahawa negeri Pahang adalah
tempat kerajaan Melayu kedua selepas Kerajaan
Melayu Patani di Semenanjung Tanah Melayu [13].
Keterangan mengenai menjalankan aktiviti laut
pula boleh dipetik daripada kenyataan Mas’udi
sebelum ini. Dengan kedudukan Pahang yang
strategik, penduduknya di persisiran pantai dan
laut, serta mempunyai kerajaan yang makmur
secara logiknya dapat menarik pedagang-pedagang
dan pengembara-pengembara dari china dan tanah
arab, dan ia juga membuka ruang kepada penyebaran
dakwah melalui pedagang-pedagang arab secara
langsung mahupun tidak langsung.
Ketiga; penemuan Batu Nisan di Kampung Permatang
Pasir, Pulau Tambun, Pekan, Pahang. Batu nisan
tersebut ditemui pada awal tahun 1954 ketika mana
orang-orang kampung Permatang Pasir menggali
kubur [14].
Penemuan batu nisan ini telah menunjukkan
kedatangan Islam lebih awal di negeri-negeri Tanah
Melayu [15], bahkan membuktikan kedatangan Islam
di Pahang lebih awal berbanding Melaka (1414M)
dan Terengganu (1303M) [16]. Batu nisan tersebut
ditulis dalam perkataan Arab yang terjemahannya
adalah seperti berikut [17]:
Wahai yang mengampuni Firman Allah Taala Tiap
-tiap yang bernyawa mesti merasai Mati dan
sesungguhnya akan Disempurnakan Pahala-pahala
kamu Pada hari kiamat Maka barang siapa yang
dijauhkan Dari neraka Tidak takut Ialah Allah
Firman Allah Tabaraka Wa Ta’ala dalam kitabnya
Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah itu Di
atas mereka dan Tiada mereka Berdukacita Berpindah
di waktu subuh (pagi) Wahai Allah yang menjelaskan
Ketahuilah sesungguhnya dunia itu Seperti rumah
tumpangan Berehat di waktu isyak (malam) Dan dia
Melainkan mata benda Yang memperdayakan Telah
benarlah Allah Yang mulia Tahun empat Wahai Allah
yang mengasihani Tarikh wafatnya hari Rabu, Empat
Belas dan bulan Rabie Dan dimasukkan Ke dalam
syurga maka sesungguhnya Menanglah ia dan tidak
lah Hidup di dunia Dan Sembilan belas.
Tarikh orang berbangsa Arab ini meninggal adalah
pada hari Rabu 14 Rabie tahun 419H/999M. Tambahan
pula batu nisan yang dijumpai ini mirip seperti batu
nisan yang dijumpai di Perlak dan Pasai [14] yang
mengalami proses Islamisasi awal dalam bingkai sejarah.
Kedudukan Kampung Permatang Pasir yang berhampiran
kuala sungai (atau laut) juga mengukuhkan teori ini. Ini
bermakna kawasan sekitar laut dan kuala sungai di
Pahang telah terdedah kepada kehadiran orang-orang
Islam yang berdagang dan menyebarkan dakwah Islam.
Berbalik kepada Batu Nisan Kampung Permatang Pasir,
Aminudin telah melakukan kajian terhadap catatan di
atas batu nisan tersebut menunjukkan ia merupakan
istilah-istilah yang digunakan oleh golongan sufi
kerana mempunyai elemen dan nilai kesufian.
Kerana itu, boleh dianggap bahawa yang meninggal
di Kampung Permatang Pasir tersebut adalah seorang
wali [18] Begitu juga penemuan Makam Keramat
Galong yang membuktikan masyarakat pra-Melaka
ditemui dan memungkinkan bahawa masyarakat di
kawasan itu ketika itu telah memeluk Islam [13].
Keempat; golongan syed merupakan orang yang
berketurunan arab yang dikatakan bersusur galur
dengan keturunan Rasulullah. Kebanyakan syed
yang berada di Tanah Melayu adalah datangnya
dari satu daerah iaitu Hadramaut, Yaman [19].
Kedatangan golongan syed ke Pahang merupakan
satu bukti penyebaran Islam di Pahang. Kedatangan
golongan syed ke tanah melayu dikatakan sekitar
abad ke- 14 dan ke-15 Masihi [20]. Bahkan ada
kenyataan yang menyatakan bahawa tarikh asal
kedatangan golongan syed sebelum kedatangan
Belanda, ia itu pada abad ke-17 Masihi [21].
Walau bagaimanapun kenyataan yang dikemuka
kan oleh W. Linehan perlu diambil kira. Menurut
W. Linehan pengaruh Islam telah sampai ke
Pahang sebelum terbentuknya Kerajaan Melayu
Melaka lagi.
Ini adalah kerana terdapat banyak makam Syed
yang membuktikan mereka telah sampai di Pekan
sebelum Abad ke-15 Masihi [13,19]. Kenyataan
ini menunjukkan golongan syed telah berhijrah
ke Pahang lebih awal dan membuktikan bahawa
kedatangan Islam di Pahang juga adalah lebih awal.
Kelima; Pahang dan Tioman juga merupakan
kawasan perlabuhan kapal dagang disamping Jawa,
Sriwijaya, Kedah, Jambi dan Palembang [22].
Berikutan terdapat teori yang mengatakan Islam
datang ke tanah melayu melalui aktiviti
perdagangan [23].
Kenyataan mengenai Pulau Tioman dan Pahang
sebagai tempat perlabuhan kapal telah dijelaskan
di dalam karangan Abu Zaid al-Sirafi [11] bertajuk
Akhbar al-Sin wa al-Hind [24], buku ini telah
dikarang pada tahun 851 Masihi [25].
Oleh kerana Pahang juga merupakan kawasan
perlabuhan pedagang ia dapat mengukuhkan
kemungkinan Islam disebarkan ke Pahang
melalui pedagang bukannya melalui Kerajaan
Melayu Melaka.
Tambahan pula terdapat satu catatan Ibnu
Battuta yang singgah di suatu tempat di sepanjang
Pantai Tanesserim. Di sana Ibnu Battuta dihiburkan
di kota berdinding kayu yang terletak beberapa
kilometer di sebelah hulu sungai dari perlabuhan.
Ross E. Dunn mencatatkan keadaan tempat
tersebut berdasarkan pengalaman Ibnu Battuta [26]:
Mereka sentiasa berada di istana, kecuali pada
hari jumaat. Mereka berada di masjid bagi
menunaikan solat jumaat. Istana pada waktu
itu masih mengamalkan adat dan tradisi yang
tidak jauh berbeza daripada setiap negara Hindu
-Buddha di Melayu, ataupun Kepulauan Indonessia.
Kemungkinan tempat yang disinggahi Ibnu
Battuta tersebut adalah Pulau Tioman ataupun
Pekan, Pahang sekitar tahun 1297 hingga 1346
Masihi [18]. Pekara ini berikutan Pahang dan
Pulau Tioman telah wujud ketika itu sebagai
satu kerajaan.
Keenam; Asasnya untuk mengetahui tempat
awal yang menerima Islam perlu didokong
dengan beberapa bukti khusus, iaitu; kitab
atau manuskrip agama, masjid tertua, institusi
pendidikan Islam, kubur seorang ulama’ dan
pengaruh pemikiran Islam yang berkekalan
serta dapat dikesan penggunaannya secara
meluas dalam masyarakat [27,28].
Berdasarkan kayu ukur tersebut, didapati antara
kubur ulama’ paling awal ditemui di Pahang.
Berkenaan institusi pendidikan Islam dan masjid
tertua akan dibincang dalam kajian ini. institusi
pendidikan Islam juga menjadi tonggak kepada
teori perkembangan Islam di sesuatu tempat [29].
Bagaimana sebuah kerajaan Islam ataupun kawasan
berkembangnya Islam tiada satu pusat ataupun
aktiviti pendidikan keagamaan sedangkan Islam
menggalakkan penganutnya menuntut Ilmu.
Di Tanah Melayu pendidikan keagamaan
dijalankan di masjid dan di institusi pendidikan
Islam yang disebut sebagai pondok.
Antara pondok-pondok yang telah ditubuhkan
di negeri Pahang ialah pondok di Kampung Pasir
Mas, Kuala Lipis yang ditubuhkan oleh Haji
Ismail bin Akil dan di Kampung Air Hitam,
Pekan yang ditubuhkan oleh Haji Kamaludin bin
Othman [30].
Walaubagaimanapun institusi pengajian Islam
terawal yang dapat dikesan di Pahang ialah
Lubuk Pelang, pada tahun 1640 Hamzah Fansuri
telah pergi ke Lubuk Pelang untuk mendalami
ilmu Hakikat dan ilmu Tasawuf.
Pusat pengajian ini yang bertempat Bukit Ketupat,
Jerantut telah menjadi pusat pengajian tumpuan
sekitar tahun 1490 hingga 1640 di bidang
tasawuf [31].
Perkembangan institusi pendidikan Islam di
Pahang sentiasa berlaku daripada pengajian di
masjid,pondok hingga tertubuhnya sekolah
agama atau madrasah [32].
Terdapat empat buah sekolah agama rakyat
yang pertama di negeri Pahang iaitu Madrasah
al-Attas, Pekan (1923), Madrasah al-Islah, Kuala
Tekal, Temerloh (1925), Madrasah al-Khairiah,
Temerloh (1927) dan Kuliah Sultan Abu Bakar,
Pekan (1941) [30].
Sekolah-sekolah inilah yang menjadi tonggak
kelansungan penyebaran dan pemgukuhan Islam
di Pahang disamping pengajian di masjid dan
pondok-pondok yang masih kekal. Manakala
masjid terawal di yang dijumpai dalam sejarah
Malaysia ialah Masjid Kampung Laut yang
dipercayai dibina sekitar abad ke-17 Masihi.
Manakala Masjid Tok Tuan di Kemaman yang
dipercayai telah dibina lebih daripada seratus
tahun, kemudian Masjid Kampung Hulu di Melaka
juga antara masjid tertua di Malaysia yang di bina
pada tahun 1728 Masihi [33].
Manakala di Pahang tidak ada bukti yang jelas
terdapat masjid yang tertua, walaupun begitu ada
dakwaan bahawa Masjid Tok Mengkarak yang
dibina sekitar abad ke 17 Masihi [34], namun
masih tiada bukti kukuh atas dakwaan tersebut.
Walaubagaimanapun, masjid tertua yang dapat
dikenal pasti di Pahang adalah masjid Masjid
Pulau Tawar yang telah dibina lebih daripada
200 tahun dan dikatakan menjadi pusat pengajian
agama dan penyerbaran Islam sekitar kurun
ke-18 [35].
Tambahan pula, masih terdapat beberapa masjid
yang tidak dikenalpasti tarikh binaannya dan seni
binanya juga klasik dan diserapi unsur-unsur luar
seperti Masjid Kg. Tersan, Masjid Tanjung Api,
Masjid Kg. Pantai Chenor yang ada kemungkinan
bahawa masjid tersebut telah lama dibina.
Ketujuh: Menurut catatan (daripada sarjana atau
pengembara cina) pada sekitar kurun ke-13 Masihi,
Pahang merupakan salah satu jajahan takluk kerajaan
Srivijaya [36].
Hakikatnya terdapat 15 negeri dibawah kerajaan
Srivijaya atau San-Fo-Tsi [37] menurut Chu-fan-chi
iaitu; Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu),
Ling-ya-sikia (Langkasuka), Kilantan (Kelantan),
Fo-lo-an, Ji-lo-ting (Jelotong), Tsienmai, Pa-t’a
(Tanjung Paka), Tan-MaLing (Tamralingga atau
disamakan dengan Tembeling, Pahang), Kia-lo-hi
(Grahi), Pa-lin-fong (Palembang), Sin-to (Sunda),
Ken-pi (Kampe), Lan-mu-li (Lamuri) dan Siam [38].
Walaupun tidak dapat dipastikan secara jelas tahun
bilakah Pahang jatuh dibawah taklukan Sriwijaya,
namun ia masih disekitar kurun ke-7 hingga kurun
ke-13 Masihi [39,40]. Pada awal kerajaan Srivijaya
juga didapati telah menjalankan perhubungan dengan
kerajaan Islam, bahkan membuka ruang penyebaran
Islam dalam kerajaan tersebut. Ini berikutan,
maharaja Sriwijaya, Sri Indravarman (pada 718
Masihi) pernah mengirimkan surat kepada khalifah
Umar bin Abdul Aziz. Potongan surat tersebut
berbunyi [41];
Daripada Raja kepada sekalian Raja yang
merupakan keturunan dari seribu Raja-Raja,
yang permaisurinya juga merupakan cucu
kepada seribu Raja-Raja, yang taman haiwannya
mengandungi seribu gajah, yang di dalam
wilayahnya terdapat dua sungai yang mengairi
pohon jadam, rempah wangi, buah pala dan
limau nipis yang aromanya tersebar sejauh
12 batu. Ke hadapan Raja Arab yang tidak
menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah.
Aku telah mengirim padamu satu hadiah yang
tidak seberapa sebagai tanda persahabatan.
Aku mohon agar kamu menghantar padaku
seseorang yang boleh mengajarku tentang
Islam dan menerangkan padaku undang-
undangnya.
Negeri Pahang pula pada waktu itu berada
dibawah taklukan Sriwijaya. Oleh itu wujud
kemungkinan dakwah Islam juga telah sampai
ke negeri Pahang mahupun negeri Pantai Timur
seperti Terengganu dan Kelantan.
Berdasarkan ketujuh-tujuh teori yang diemukakan
telah membuktikan bahawa wujud kemungkinan
Islam telah bertapak lebih awal di Pahang. Ia secara
tidak lansung menafikan kedatangan Islam ke Pahang
melalui Kerajaan Melayu Melaka.
Berdasarkan teori yang telah disebutkan, kedatangan
Islam ke Pahang boleh dibahagikan kepada tiga fasa,
iaitu;
fasa pertama merupakan fasa kedatangan dan
persinggahan orang-orang Islam yang berlaku sekitar
kurun ke-10M.
Fasa kedua ialah fasa penyebaran Islam secara kecil
-kecilan di sekitar kawasan persisir pantai dan kuala
sungai. Fasa ini juga telah mewujudkan perkampungan
dan penempatan orang Arab berketurunan Syed.
Fasa kedua ini berlaku sekitar kurun ke-11M hingga
awal kurun ke-14M.
Manakala fasa ketiga, ialah fasa kekuasaan dan
perkembangan Islam. Ia bermula apabila Pahang
ditakluk oleh Kerajaan Melayu. Aktiviti perkembangan
Islam melalui institusi raja juga bermula dalam
fasa ini di bawah kuasa Sultan Muhammad Shah
pada sekitar 1470M [42].
Selain itu, teori kedatangan Islam di Pahang ini
menjadi satu lagi pengukuh bahawa teori Islamisasi
awal di Tanah Melayu adalah bermula di negeri-
negeri Pantai Timur.
Setiap negeri di Pantai Timur mempunyai bukti
tersendiri yang menandakan Islam telah bertapak
di sana [27], contohnya penemuan Batu Bersurat
di Terengganu, Masjid Kampung Laut dan
penemuan dinar emas di Kelantan dan Batu Nisan
di Pahang.
Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan catatan Cina
Dinasti Sung yang menyebut bahawa kedatangan
Islam di sepanjang persisiran Laut Cina Selatan
seawal-awalnya pada tahun 977M [43].
KESIMPULAN
Proses Islamisasi di Malaysia walaupun telah lama
berlaku namun ia masih belum dapat dihuraikan
dengan baik. Ini berikutan sumber-sumber sejarah
yang telalu terhad.
Walau bagaimanapun sekiranya usaha menggali
maklumat dan data terus dilakukan sama ada dalam
bentuk tulisan seperti manuskrip ataupun berbentuk
objek seperti artifak. Situasi ini juga berlaku dalam
sejarah Pahang.
Namun, penemuan seperti batu nisan, kewujudan
golongan syed, kenyataan Pahang sebagai pusat
tumpuan pedagang, Pahang juga memiliki kerajaan
yang tersendiri sebelum Kerajaan Melayu Melaka
merupakan satu penemuan dan kenyataan yang
mendatangkan impak yang besar dalam sejarah di
Malaysia. Oleh itu, kajian yang lebih mendalam
dan agresif perlu dilakukan oleh mana-mana pihak
secara konsisten.
SATU TINJAUAN TEORI OLEH:
1.Muhammad Ikhlas Rosele* , 2Rahimin Affandi Abdul Rahim & 3Mohd Anuar Ramli 1 Pelajar pascasarjana (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ikhlas.rosele@yahoo.com
2. Profesor Madya (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya faqir_ila_rabbih@um.edu.my
3. Pensyarah Kanan (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya mohdanuar@um.edu.my
RUJUKAN
[1] Azhar Mad Aros, Ali Seman & M. Rajendran, (1991). Sejarah Islam. Petaling Jaya: IBS Buku.
[2] Abd. Rahman Hj. Abdullah, (1979). Pengajian Sejarah Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
[3] Mohd Roselan Ab. Malek, (1993). Salasilah Nama Tempat
Negeri Pahang Darul Makmur. Petaling Jaya: Penerbit Prisma.
[4] Jabatan Penerangan Negeri Pahang, “Pahang Zaman Pra-Sejarah” diakses dari http://www.penerangan.gov.my/pahang/index.php/bm/maklumat/infonegeri/pahang-zaman-pra-sejarah pada 5 Februari 2015
[5] Peter Bellwood, (2007). Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago. Australia: ANU E PRESS.
[6] Buyong Adil, (1972). Sejarah Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[7] Muhammad Yusoff Hashim & Aruna Gopinath, (1992). Tradisi Pensejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930. Selangor: Tempo Publishing.
[8] Victor Purcell, (1997). Orang-orang Cina di Tanah Melayu, terjemah Nik Hasnaa Nik Mahmood. Skudai: Penerbit UTM.
[9] Che Uda Che Nik, (1988). Sejarah Islam 2. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
[10] Mahayudin Hj. Yahaya & Ahmad Jelani Halimi, (1993). Sejarah Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
[11] Paul Wheatley, (2010). The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: University Malaya Press.
[12] G. R. Tibbets, (1956). The Malay Peninsula as Known to the Arab Geographers. The Malayan Journal of Tropical Geography. IX. 24-33.
[13] W. Linehan, (1936). A History of Pahang. Kuala Lumpur: the MBRAS.
[14] Haji Zakaria Hitam, (1982). Kubur Zaman di Permatang Pasir Mukim Pekan, Pahang, Dalam Monograf Sejarah dan Kebudayaan Negeri Pahang, (8-27). Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang.
[15] Amnah Saayah Ismail & Farid Mat Zain, (2004). Perspektif Islam di Tanah Melayu Abad ke-19: Analisis Terhadap Pemikiran Abdullah Munshi Melalui Karya “Kisah Pelayaran Abdullah”. Dalam Ahmad Sunawari Long, Jaffary Awang & Kamaruddin Salleh (ed.), Islam: Past, Present & Future, (340-348). Bangi: UKM.
[16] Farid Mat Zin (eds), (2007). Islam Di Tanah Melayu Abad ke 19 M. Shah Alam : Karisma Publications, 2007.
[17] Dato Sri Mahmud bin Mat, (1955). Two Unidentified Muslim Graves at Kampung Permatang Pasir, Pekan District, Pahang. The Malayan Historical Journal. 2(2): 137-140.
[18] Aminudin Haji Abdul Karim, (2014). Hukum Kanun Pahang: Satu Analisis Serta Perbandingan Dengan Hukum Kanun Melaka dan UndangUndang Kedah. Kuantan: Syarikat Percetakan Inderapura.
[19] Mahayudin Haji Yahaya, (1984). Sejarah Orang Syed di Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[20] Mahayudin Haji Yahaya, (1998). Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[21] Serjeant, R. B., (1957). The Saiyids Of Hadramawt: An Inaugural Lecture. London : School of oriental and African Studies.
[22] Nurulwahidah Fauzi, Ali Mohammad & Saim Kayadibi, (2011). The Religious-Intellectual Network: The Arrival of Islam in The Archipelago. Dalam Saim Kayadibi (ed.), Ottoman Connections to The Malay World. Kuala Lumpur: The Other Press.
[23] Saifullah Mohd Sawi & Samsu Adabi Mamat, (2009). Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Shah Alam: Karisma Publications.
[24] C. E. Bosworth, E. Van Donzel, B. Lewis & CH. Pellat (eds.), (1980). The Encyclopaedia of Islam. Leiden: E. J. Brill.
[25] Paul Lunde, (2005). The Seas of Sinbad. Saudi Aramco World. 56(4). From http://www.saudiaramcoworld.com/i ssue/200504/the.seas.of.sindbad.htm
[26] Ross E. Dunn, (2014). Jejak Ibnu Battuta: Menelusuri Legasi Islam Abad ke-14, Mohamad Muslim (terj.). Selangor: PTS Islamika.
[27] Rahimin Affandi Abd. Rahim, Ab. Halim Ismail & Nur Adina Abdul Kadir, (2014). Teori Islamisasi Tanah Melayu Daripada Pamtai Timur: Satu Pengamatan Awal. Dalam Kolokium Islam Pahang ‘Meraikan Ilmu’, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, 18-20 Oktober 2014.
[28] S. Hossein Nasr, (1987). Traditional Islam in The Modern World. London: KPI limited.
[29] Gamal Abdul Nasir Zakaria, (2010). Pondok Pesantren: Changes and Its Future. Journal of Islamic and Arabic Education. 2(2): 45-52.
[30] Saliturahim Alias, Kamaruzaman Yusoff & Azizi Umar, (2012). Sekolah Agama Islam di Pahang: Satu Kajian Sejarah dan Perkembangan Awal. Kertas KerjaPersidangan Kebangsaan Pendidikan Islam
[31] Abdul Jalil Borham, (2014). Legasi Islam di Pahang Wadah Transformasi Jati Diri Umat Gemilang, Syarahan Umum Profesor Universiti Malaysia Pahang, Dewan Astaka, UMP.
[32] Mohd Roslan Mohd Nor & Wan Mohd Tarmizi Wan
Othman, (2011). Sejarah dan Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia. Jurnal al-Ta’dib. 6(1): 59-78.
[33] Harlina Md Sharif & Hazman Hazumi, (2004) Reconstruction of The Earliest Mosque In Malaysia Usiang Virtual Reality Technique. Archives and Museum Informatics Europe: ICHIM04.
[34] Sila rujuk laman web berikut http://selamatkanpahang.blogspot.co m/2014/01/tapak-masjid-antaraterawal-di-pahang.html dan http://tok-mengkarak.blogspot.com/
[35] Haris Fadilah Ahmad, (22 April 1998). Masjid Pulau Tawar Khazanah Mat Kilau Terbiar Sepi. Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/in fo.asp?y=1998&dt=0422&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls _02.htm&arc=hive
[36] Ooi Keat Gin, (2009). The A to Z of Malaysia. UK: Scarecrow Press.
[37] Phyllis Gim-Lian Chew, (2013). A Sociolinguistic History of Early Identities in Singapore. New York: The Pallgrave Macmillan, 2013.
[38] Slamet Muljana, (2006). Sriwijaya. Yogyakarta: LKiS Yogyakarta.
[39] Ram Prakash Anand, (1982). Origin and Development of the Law of the Sea. Netherland: Martinus Nijhoff Publisher.
[40] Soeroto, (1975). Sriwijaya Menguasai Lautan. Bandung: P.T. Sanggabuwana.
[41] Azyumardi Azra, (1995). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII. Bandung: Penerbit Mizan.
[42] Aruna Gopinath, (1993). Sejarah Politik Pahang 1880-1935. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[43] Abd Jalil Borham, (2012). Islam di Pahang. Kuantan:
Universiti Malaysia Pahang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment