Gay dibunuh kejam di Iraq.
BAGHDAD
- Golongan belia yang digelar 'emo' dibunuh dengan kejam dan secara
meluas di Iraq ekoran mereka dituduh mengamalkan hubungan sejenis.
Senarai nama belia yang
dikaitkan dengan gaya hidup gay itu dikeluarkan oleh militia-militia
tempatan yang kemudian memburu dan membunuh mereka.
Setakat ini, pasukan keselamatan negara Asia Barat itu gagal menghentikan perbuatan kejam itu daripada terus berleluasa.
Malah, beberapa pegawai dan
pertubuhan hak asasi memberitahu, sejak enam minggu lalu seramai 58
orang yang mengamalkan homoseks atau dituduh sebagai gay dibunuh di
Iraq.
Beberapa orang pegawai keselamatan memberitahu, di bandar Sadr sahaja, seramai 16 orang telah dibunuh.
Sembilan daripada mereka dipukul dengan objek tumpul hingga mati, manakala tujuh lagi ditembak.
Sumber sama berkata, tiada
tangkapan dibuat setakat ini. Beberapa saksi pula menyatakan,
sebahagian mangsa dihentak di kepala sampai mati menggunakan blok simen
oleh anggota-anggota militia Iraq.
Satu senarai yang diagihkan oleh
anggota-anggota militia di bandar Sadr, kawasan penduduk Syiah di sini
baru-baru ini, mendedahkan nama atau nama samaran 33 orang yang
didakwa sebagai emo beserta alamat mereka.
Senarai berkenaan mengandungi
amaran yang bermaksud: "Kami memberi amaran sekeras-kerasnya kepada
setiap pengamal homoseks lelaki dan wanita (lesbian). Jika anda tidak
menghentikan perbuatan kotor ini dalam tempoh empat hari maka hukuman
Tuhan akan menimpa anda di tangan pejuang Mujahidin."
Semua nama yang terkandung dalam senarai tersebut ialah lelaki kecuali seorang wanita.
Di Barat, 'Emo' adalah singkatan
untuk emosional. Terma tersebut dikaitkan dengan remaja atau belia
yang mendengar muzik alternatif, berpakaian hitam dan memiliki gaya
rambut radikal.
Golongan emo tidak semestinya gay. Tetapi di Iraq, mereka sinonim dengan hubungan sejenis.
Seperti di negara-negara Islam
lain, amalan homoseks dikecam di Iraq. Mereka yang dianggap gay menjadi
sasaran diserang atau dibunuh, manakala pelakunya kerap kali terlepas
daripada hukuman. - Agensi
No comments:
Post a Comment