Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri
Sekali lagi, sebelum saya mula
merungkai kata dengan lebih jauh, inginku mohon sejuta kemaafan andai
penulisan ini bakal mengusik hati meresak jiwa kalian semua. Sila
teruskan pembacaan ini di atas risiko anda sendiri.
Sejujurnya,
tajuk sedemikian rupa adalah hasil cerna jari-jemari nakalku untuk
menarik minat pembaca, baik dari golongan PAS mahupun UMNO (bukan
mencari hits, tetapi ingin mendidik). Pada pengakhiran tajuk itu saya
sertakan tanda soal, sebagai penafian simbolik penambah rencah rasa
ingin tahu anda semua.
Saya pasti, para ustaz dan
ustazah sekalian akan bertempiaran kehairanan mengapa ditonjolkan PAS
sebagai teraju utama. Pembawaan watak PAS ini sebenarnya mewakili
mana-mana parti politik tempatan yang memperjuangkan dan melaksanakan
tuntutan Islam yang agung. Sekiranya saudara sekalian memerlukan
penerangan khusus penonjolan PAS di sini, dengan rendah diri saya
mempersilakan membaca penulisan sebelumnya.
Definisi politik kebencian
secara umum pada hematku adalah berupa politik yang disirami oleh
jalinan permusuhan, dendam kesumat, keji-mengeji, hina-menghina,
ketidakmatangan, kebudak-budakkan, hasad dengki dan sebagaimana yang
sewaktu dengannya.
Lebih menakutkan, situasi ini
dilihat sebagai suatu yang normal dan menjadi rutin di hati kebanyakkan
penggiat dunia politik tanah air. Saya melihat simptom ini dengan penuh
gelisah, kerana diri ini merasakan betapa ruginya Islam itu sendiri,
apabila landasan dakwah ini dicemari kotoran yang kian menebal.
Politik dan dakwah? Di mana
celahnya? Sebenarnya politik itu sendiri merangkumi pelbagai jurusan
kehidupan. Semestinya sebagai muslim, politik anda perlulah bertunas
dari Islam yang syumul. Politik melibatkan pelbagai acara jalinan sosial
serta perhubungan dua hala antara pelbagai pihak.
Jalinan inilah yang sepatutnya
digunakan muslimin dan muslimat sekalian untuk mendidik dan berdakwah
sesama mereka. Bayangkan betapa perkasanya Islam masakini sekiranya
seluruh saluran dakwah ini dapat digembleng untuk memasyhurkan keagungan
Islam justeru ia dapat berkembang pesat serta harum mewangi di setiap
hasta bumi ini.
Malangnya, apa yang terjadi hari
ini adalah sebaliknya. Medium saluran politik bertatahkan dakwah ini
dicemari oleh ketidakmatangan hamburan kata. Caci cerca menjadi makanan
ruji sebahagian besar penggiat tegar politik tanah air.
Dalam situasi inilah saya
melihat PAS agak terkebelakang sebagai sebuah parti yang ingin
menegakkan Islam. Perjuangan mereka pada pandagan saya tiada celanya,
tetapi respons mereka terhadap pergeseran ideologi pengikut parti lain
yang menjadi masalah.
Lentingan penyokong PAS sering
disulami caci cerca yang mengguris jiwa. Saya tidak salahkan guru mereka
yang ajarkan. Malahan, mungkin tiada salahnya mereka mengherdik saudara
mereka yang diseberang parti sana. Tetapi amat rugi mereka tidak
mempergunakan saluran ini untuk berdakwah.
Penyokong PAS tidak mengambil kira
potensi pengundi parti lawan dan pengundi atas pagar. Mereka lebih
selesa menyedapkan hati dengan melontar bara api ke dalam hati saudara
mereka. Mereka rela mencemarkan warkah perjuangan Islam yang didukung
parti dengan mempersembahkan diri mereka dengan nada yang keji lagi
jijik.
Tiada langsung segan silu adat Melayu, mereka melabel saudara mereka
sendiri dengan samaran yang jelik. Media berita mereka turut sama
berganding bahu mengusung bau hancing ini ke merata ceruk paparan cetak
mahupun elektronik.
Api hati mereka disemarakkan
bahan bakar tajaan iblis untuk mereka terus menerus berbalah. Dari mulut
itu jugalah dia berzikir, bertasbih dan dari situlah juga meletusnya
puaka kata kepada saudara se-Islam mereka sebagai habuan penyedap emosi
luka.
Pernahkah mereka terfikir apa
perasaan saudara mereka yang dicela itu? Apa rasanya menelan kejian yang
bertali arus ini? Saya pasti, mereka tahu, kerana mereka sendiri pernah
disumpah seranah sedemikian rupa oleh penyokong parti lawan yang lain.
Menjadi lumrah manusia untuk mempertahankan pegangan, walaupun bukan
dengan fakta, cerca pun tidak mengapa.
Nanti dahulu, betulkah ini PAS
yang saya maksudkan? Atau ini lawannya? Jika begini timbang taranya
penyokong PAS dan lawannya, amat kesal saya katakan, tiada bezanya.
Saling tidak tumpah persamaan perilaku tidak matang ini sama-sama
merugikan parti, atau secara keseluruhannya Islam itu sendiri.
Asbab celaan ini memulas-mulas
urat nadi pemilik telinga panas yang dicaci. Setiap bait bernanah ini
menjauhkan lagi mereka daripada perjuangan Islam yang disanjung PAS
sendiri. Jauh di dasar kalbunya, berakar tunjang dengan dendam dan
kesumat. Kenapa perlu mereka mendekati kamu?
Perlukah saudara-saudara kamu
ini bingkas bangun dan mengundi untuk PAS setelah dihamburkan caci maki
kepadanya? Berapa ramai di antara mereka telahpun berpaling dari parti
sana untuk menyertai PAS? Kamu mengatakan mereka tidak matang, namun
kamu sendiri bertindak kebudak-budakkan.
Menjengah dari satu penjuru,
golongan bukan Islam terkebil-kebil melihat telahan muslim yang
bersaudara ini. Ada di antara mereka yang telah diberi suntikan doktrin
persaudaraan sesama Islam. Namun, dengan mata kepala mereka sendiri,
melihat muslim saling bercakaran. Inikah agama agung kamu? Inikah cara
dakwahmu?
Golongan yang berpotensi untuk
mendekati Islam akan mula dipatuk soalan sangsi. Di mana letakkannya
kiasan murni agama yang dimomokkan kepada mereka dahulu? Apa yang
terjadi dengan gema santun Melayu kamu?
Apakah berbaloi sekalian
muslimin dan muslimat ini bertelagah? Berapa tinggikah maruah yang kamu
semua beroleh dari mengherdik saudara kamu sendiri ini? Sejauh manakah
kesinambungan syariat Allah dapat kamu tegakkan? Dapatkah kamu memberi
jaminan bahawa Islam akan kembali menguasai dunia dengan perilaku
sebegini rupa?
Namun begitu, di sebalik
kelemahan rantaian etika golongan ekstrimis ini, saya yakin dan percaya
mereka tetap inginkan Islam itu ditegakkan. Mereka tetap mahu sama-sama
berjihad ke jalan Allah. Saya pasti, jauh di sudut hati mereka,
membuak-buak keinginan untuk satu solusi mutlak bagi menangani krisis
kendiri ini.
Tahukah anda apakah kesan
politik sebegini rupa pada institusi Islam seluruh dunia? Mengapa
berlakunya perang saudara, penghapusan etnik, rampasan kuasa dan
pemberontakkan, tidak ketinggalan perbalahan turun temurun Syiah dan
Sunni. Bagaimana saluran dakwah ini dapat mempengaruhi semua ini?
Mungkinkah Ikhwan Muslimin menggemakan saluran dakwah ini sehinggakan
mereka beroleh kemenangan?
Sesungguhnya, tinta ini tidak
akan berhenti menulis, cuma mungkin akan ditangguhkan kerana dihambat
komitmen dunia bagi membolehkan kudrat ini terus lantang bercerita,
dengan izinNya. Akan saya terjemahkan solusi krisis ini di pertemuan
kita yang seterusnya, InsyaAllah.
Sengaja saya benihkan pelbagai
pertanyaan di dalam penulisan ini, dengan harapan dapat mencambahkan
kejatian minda muslim kudus. Semoga ianya membuahkan hamparan idea
untuk sama-sama kita manfaatkan bagi meredah rasukan dunia. Wallahualam.
Jazakallah.