Sunday, 29 November 2015

TUN MAHATHIR CAKAP TUNGGANG TERBALIK!!!



Bagi penentang-penentang Mahathir dari zaman awal Premiershipnya terutama sekali pada tahun pertengahan 80-an, bahkan pada projek-projek meganya yang dilihat sekadar menjadikan Melayu dan Bumiputera sebagai pekerja kelas kedua dan ketiga sahaja, Mahathir pada hari ini, bukanlah sesuatu yang pelik.

Memang benar Mahathir telah banyak berjasa kepada negara ini. Mahathir telah mempercepatkan pencapaian negara ini secara makro, tetapi dari sudut mikro, khususnya Melayu-Bumiputera telah bertukar menjadi masyarakat yang bersifat kebendaan dan kehilangan banyak masa kerana mengejar materialistik atas alasan, materialistk itulah yang dinamakan kemajuan.

Dan sepanjang tempoh itu jugalah, Melayu kehilangan banyak tanah walaupun pada negara-negara asing, Malaysia mempunyai nama yang cukup harum. Melayu adalah kelompok yang paling banyak dikorbankan, dan tanah-tanah mereka juga paling banyak diambil untuk membangunkan negara di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Melihat dari sudut makronya, Mahathir telah berjaya mengubah Malaysia menjadi sebuah Harimau Timur. Namun dari sudut mikronya, pribumi dan bumiputeranya terpaksa bergigih serta bertungkus lumus kerana terlalu banyak kehilangan di sudut mereka hanya mereka mengejar meritokrasi yang Melayu dan Bumiputera lain, tidak mampu terkejar selepas mereka diasak dan ditekan dari pelbagai sudut.

Sepanjang tempoh 22 tahun pentadbirannya, tiada sesiapa pun kecuali kaum penentangnya yang berani berkata, Mahathir berjaya membangunkan negara hasil daripada pengorbanan Melayu-Bumiputera yang ditagih secara paksa walaupun akhirnya kejayaan daripada keputusan pentadbirannya hanya mampu dnikmati oleh sekelompok manusia Melayu-Bumiputera elit yang sehingga sekarang, tetap dahaga, tetap lapar dan tetap kebuluran tanpa sedikit pun mahu berkongsi atau mewujudkan pewaris yang mampu mengembangbiakkan kejayaan Melayu-Bumiputera.

Memang benar, ramai orang Melayu-Bumiputera yang berjaya keluar dari kepompong hidup kesederhanaan dan mengejar materialistik tetapi melihat kepada situasi terutama sekali kesukaran membeli hartanah hari ini, memperlihatkan kesukaran yang bakal dialami oleh generasi kedua dan ketiga serta seterusnya Melayu-Bumiputera selepas pentadbiran Mahathir. 

Ditambah pula dengan kekuatan DAP dan kumpulan yang pro mereka, yang semakin hari semakin jelas bersifat lintah darat yang mahu menakluk hak-hak istimewa Melayu-Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bolehlah dikatakan secara ringkas, Melayu-Bumiputera akan bertukar menjadi pengemis di negara sendiri.

Pelbagai skim diwujudkan kononnya untuk membantu Melayu-Bumiputera, tetapi kemudiannya berakhir dengan alasan, orang Melayu-Bumiputera hanya pandai menjadi Alibaba, senang jadi taukeh, dan lebih rela jadi kuli makan gaji. Akhirnya pelbagai skim insentif dan bantuan yang diwujudkan atas nama Melayu-Bumiputera, tetap juga pergi ke kelompok elitis yang sama.

Selepas 22 tahun mentadbir Malaysia dengan corak dan kaedahnya yang tersendiri, selain dibaluti dengan kemasyhuran serta kegemilangan Malaysia di mana Melayu-Bumiputera hanyalah mlukut tepian gantang, sebarang perubahan untuk menukar sistem tersebut, amat payah diterima. Bahkan dianggap sebagai tidak mengenang budi dan cubaan menghapuskan legasi pentadbiran Tun Dr. Mahathir.

Daripada pelbagai projek-projek mega sepanjang 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan empat orang Timbalan Perdana Menteri yang mana salah seorang menjadi penggantinya, berapa kerat Melayu-Bumiputera yang ada di dalam projek-projek mega tersebut?

Daripada sekian banyak GLC dan syarikat-syarikat yang diwujudkan pada zamannya untuk menguruskan kewangan dan perniagaan berasaskan Kerajaan, berapa banyak yang dinikmati oleh Melayu-Bumiputera berbanding GLC-GLC tersebut yang sekarang ini lebih mementingkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial mereka berasaskan Melayu-Bumiputera walaupun modal mereka adalah Melayu-Bumiputera?

Mana jutawan-jutawan Melayu yang dihasilkan pada zaman Mahathir? Berapa kerat lagi yang masih tinggal dan sedar mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu anak bangsa berbanding yang tidak kenyang-kenyang dan terus memburu hasil untuk diri sendiri sebelum kemudian mereka mendabik dada, kononnya kejayaan mereka adalah kejayaan diri sendiri?

Mahathir bukan sempurna dan maksum. Bahkan setiap Perdana Menteri yang menjawat jawatan tersebut bermula dari gelaran Ketua Menteri pada tahun 1955 sehinggalah Perdana Menteri pada tahun 2015, tidak lepas daripada berbuat kesilapan dan kerugian kepada bangsa dan negara.


Kalau pada zaman Mahathir, kritikan diberikan kepada Almarhum Tunku dan Hussein Onn kerana mengkritik pentadbirannya, bahkan sanggup pula bersekongkol dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang kalah hanya beberapa undi dalam Pemilihan Agung UMNO, sehingga akhirnya diwujudkan sistem kuota bagi memastikan kedudukan Presiden terjamin dan mutlak sebelum diubah kembali di bawah pentadbiran Najib, mengapa pula Mahathir tidak boleh dikritik apabila dia mula meracau-racau dan bercakap tunggang terbalik?

Selepas mantan Perdana Menteri bercakap tunggang terbalik seperti yang dapat kita lihat sekarang, ia sudah cukup menggambarkan betapa bahayanya kedudukan Melayu-Bumiputera pada zaman hadapan melainkan ada yang berani menyanggah dan keluar daripada acuan yang ingin diterapkannya.

Kepimpinan masakini perlu lebih berani berhadapan, perlu lebih berani menyanggah bahkan perlu lebih tegas menyatakan tentang beberapa 'pembetulan' yang dibuat ke atas kesilapan-kesilapan Mahathir sepanjang tempoh 22 tahun pentadbirannya, terutama sekali yang melibatkan konsensi yang jelas merugikan rakyat untuk tempoh panjang sekalipun dalam tempoh pendek berjaya melonjakkan negara.

Negara ini bukan milik Mahathir, bukan juga milik Najib, apatah lagi milik UMNO. Negara ini milik semua rakyatnya yang telah banyak berkorban segala-galanya. 

Negara ini perlu mengikut acuan keperluan rakyat semasa dan akan datang, bukannya berdasarkan nostalgia legasi 22 tahun yang akhirnya menyaksikan lebih ramai rakyat yang berputih mata melihat rumah-rumah cantik yang dimiliki oleh rakyat asing berbanding mereka!TFK.

No comments: