Sunday 20 December 2015

ORANG MELAYU PERTAMA DI DUNIA YANG MEMELUK AGAMA ISLAM?



SIAPAKAH ORANG MELAYU PERTAMA DI DUNIA YANG MEMELUK AGAMA ISLAM?

Tersebutlah kisah tentang sebuah kerajaan lama di 
Pulau Sumatera yang dikenali sebagai Malayu. 



Peta di atas menunjukkan kedudukan 
negara kotaMalayu dan empayar Srivijaya 
di Kepulauan Sumatera.



Menurut catatan sejarah, lokasi negara kota tersebut 
dipercayai terletak di sekitar wilayah Jambi hari ini. 
Kerajaan Malayu dikatakan sangat terkenal dengan 
hasil pengeluaran lada hitamnya.

Kisah kemasyhuran kerajaan Malayu telah sampai 
ke pengetahuan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufian 
atau Khalifah Mu’awiyah I (661-680 Masihi) 
- pengasas dan pemerintah pertama empayar Bani 
Umayyah yang berpusat di Damsyik (atau Damascus).

Empayar Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik 
pada zaman kegemilangannya.

Setelah terdengar akan kemasyhuran kerajaan Malayu 
di sebelah Timur, maka timbullah niat di hati baginda 
untuk mengIslamkan kerajaan Malayu serta memonopoli 
perdagangan lada hitamnya. Kebetulan pula, baginda 
sedang berusaha untuk memperluaskan empayar Islam 
serta ajaran Islam ke seluruh dunia.

Pada ketika itu, kerajaan Malayu berada di bawah 
pemerintahan seorang maharaja yang bernama Sri 
Maharaja Lokitawarman. Baginda berbangsa Melayu 
dan beragama Buddha. 

Lantas, Khalifah Mu’awiyah I telah mengajak maharaja 
Malayu tersebut untuk memeluk Islam. 

Walau bagaimanapun, Sri Maharaja Lokitawarman 
telah menolak pelawaan khalifah tersebut secara baik.

Keengganan maharaja Malayu tersebut untuk memeluk 
agama Islam telah membantutkan niat Khalifah 
Mu’awiyah I untuk mengIslamkan kerajaan Malayu 
serta memonopoli perdagangan lada hitamnya. 

Kerajaan Malayu yang berpusat di Jambi, 
Sumaterasangat terkenal dengan hasil pengeluaran 
lada hitamnya.


Tidak berapa lama kemudian, Sri Maharaja 
Lokitawarman telah mangkat dan tempatnya diambil 
alih oleh Sri Maharaja Srindrawarman.
Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul 
Aziz (717-720 Masihi), baginda telah mengutus surat 
kepada Sri Maharaja Srindrawarman dan mengajak 
maharaja Malayu tersebut untuk memeluk agama Islam. 
Hubungan yang terjalin di antara kedua-dua pemerintah 
tersebut (khalifah Bani Umayyah dan maharaja Malayu) 
dikatakan sangat baik.

Usaha Khalifah Umar akhirnya membuahkan hasil 
apabila maharaja Malayu tersebut telah terbuka hati 
untuk menerima Islam. Peristiwa tersebut berlaku 
kira-kira pada tahun 718 Masihi. 

Menurut catatan sejarah, Sri Maharaja Srindrawarman 
dipercayai merupakan orang Melayu pertama di dunia 
yang memeluk agama Islam. 

Setelah peristiwa tersebut, maka bermulalah zaman 
di mana Malayu mula dikenali sebagai sebuah 
kerajaan Islam. 

Inilah kerajaan Islam yang PERTAMA sekali di 
Kepulauan Melayu atau Nusantara. PengIslaman 
Sri Maharaja Srindrawarman sekaligus telah 
menarik minat ramai pedagang Arab dan Islam 
untuk datang berdagang di negara kota Malayu.

Malah, para pedagang Arab juga telah menggelar 
Malayu sebagai ‘Sribuza Islam' (Srivijaya Islam) 
atau ‘Zabaq’ (yang berasal dari nama Muara Sabak 
di Jambi).

Walau bagaimanapun, berita tentang pengIslaman 
kerajaan Malayu di Pulau Sumatera tidak begitu 
disenangi oleh golongan pemerintah Dinasti Tang 
di tanah besar China. Pada pandangan mereka, 
pengIslaman kerajaan Malayu hanya akan 
menyebabkan aktiviti perdagangan lada hitam 
mereka tergugat dan terancam.

I-Tsing - seorang sami Buddha dari tanah besar China
pernah melawat kerajaan Malayu dan empayar Srivijaya.

Menurut catatan yang ditulis oleh seorang sami Buddha 
berketurunan Cina bernama I-Tsing, kerajaan Malayu 
pada ketika itu berada di bawah pengaruh kekuasaan 
empayar Srivijaya yang berpusat di Palembang. 

Agama rasmi empayar Srivijaya ialah Buddha 
bermazhab Vajrayana, yakni berbeza dengan Malayu 
yang sudah pun menjadi sebuah kerajaan Islam.

Pada tahun 680 Masihi, pemerintah Dinasti Tang di 
tanah besar China telah bertindak menghantar dua 
orang pendeta Buddha iaitu Vajrabodhi dan 
Amoghavajra ke Srivijaya. 

Tujuannya ialah untuk mengembangkan agama 
Buddha bermazhab Mahayana di Srivijaya serta 
menyekat pengaruh perkembangan Islam di Malayu.

Hasil campur tangan Dinasti Tang telah memaksa 
empayar Srivijaya untuk menyerang kerajaan Malayu 
pada sekitar tahun 730 Masihi. Pada ketika itu, Malayu 
berada di bawah pemerintahan Sri Maharaja 
Indrawarman - putera kepada Sri Maharaja 
Srindrawarman yang sudah mangkat.

Amoghavajra - salah seorang dari dua Sami Buddha 
yang dihantar oleh Dinasti Tang ke Srivijaya untuk 
menyekat perkembangan Islam di Malayu.

Serangan tersebut telah mengakibatkan Sri Maharaja 
Indrawarman mangkat dibunuh. Akhirnya, negara 
kota Malayu (Sribuza Islam atau Zabaq) telah berjaya 
ditawan oleh empayar Srivijaya.

Penaklukan tersebut menandakan berakhirnya 
kekuasaan sebuah kerajaan Islam yang terawal 
di Kepulauan Melayu atau Nusantara di bawah 
pemerintahan dua orang maharajanya yang 
beragama Islam iaitu Sri Maharaja Srindrawarman 
dan puteranya, Sri Maharaja Indrawarman.

Kronologi Maharaja-maharaja Malayu

MAKLUMAT TAMBAHAN

Kebanyakan sumber pensejarahan di Malaysia 
dan Indonesia hari ini mengatakan kononnya, 
kerajaan Islam yang pertama di Kepulauan 
Melayu atau Nusantara adalah Kesultanan 
Perlak ataupun Kesultanan Samudera-Pasai. 
Walau bagaimanapun, cerita di atas telah 
membuktikan bahawa kerajaan Islam yang 
pertama di Kepulauan Melayu atau Nusantara 
adalah kerajaan Malayu-sejarahbangsamelayu.


SUMBER RUJUKAN

  • 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.
  • Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu.
  • Pensejarahan Patani.
  • Laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP.

No comments: