Tuesday 6 January 2015

PENGALAMAN PAHIT YANG TAK MUNGKIN DAPAT DILUPAKAN!!!

EMPAT Gadis Ketakutan Tidur Dalam 

Kereta EMPAT Hari




Empat sahabat karib yang menjadi mangsa banjir 
di bandar ini bertekad untuk ‘berteduh’ di dalam 
kereta masing-masing dek bimbang paras air terus 
naik.


Siti Mariah Ab.Majid, 28, yang bekerja di sebuah 
agensi pelancongan, berkata beliau dan tiga rakan
nya mengambil keputusan untuk tidur di dalam 
kereta masing-masing di tempat letak kereta 
Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, 
Kota Baharu, Kelantan.


“Kami tiada pilihan selain tidur di dalam kereta 
apabila kehabisan wang tunai kerana mesin ATM 
tidak berfungsi dan semua hotel telahpun penuh 
sejak beberapa hari lepas,” katanya.


Siti Mariah berkata selain mereka berempat, terdapat 
beberapa warga bandar itu yang turut berlindung di 
dalam kenderaan masing-masing di kawasan letak 
kereta tersebut.


“Walaupun ketakutan dan kadang kala menangis, 
saya kuatkan diri untuk tempuhi bencana ini,” kata 
Siti Mariah yang berasal dari Pulau Chondong dekat 
Machang.


Siti Mariah berkata beliau dan rakannya telah empat 
hari tidak mandi dan hanya mencuci muka berbekal
kan sebotol air mineral.


“Setakat hari ini ada beberapa kedai makan masih 
menjual makanan namun saya bimbang apabila 
pemilik kedai makan memberitahu mereka akan 
tutup kedai tengah hari ini.


“Sekiranya itu berlaku saya tidak tahu bagaimana 
untuk mencari makanan bagi mengalas perut hari 
ini,” katanya.


Lebih malang, Siti Mariah berkata beliau kehilangan 
dompet dan pengenalan diri dua hari lepas ketika 
menumpang tidur di surau Pasaraya Mydin Kubang 
Kerian.


“Mujur ada rakan yang sudi membantu namun hati 
saya masih risau dengan keselamatan mak dan ayah 
yang difahamkan kini berada di pusat pemindahan 
banjir Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering, Pulai 
Chondong,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir di Kota 
Baharu, Shira Che Zakaria, 26, berkata beliau juga 
terpaksa tidur di dalam kereta miliknya kerana tiada 
pilihan.


Penjawat awam itu berkata beliau reda dengan ujian 
yang menimpa dirinya dan berharap air akan semakin 
surut dan pihak berwajib tidak terlepas pandang dalam 
membuat agihan bantuan banjir kepada warga Kota 
Baharu.


“Saya faham kesukaran yang dialami pihak berwajib 
namun kami di sini telah kehabisan wang tunai untuk 
membeli makanan dan minuman… saya berdoa agar 
semua mangsa banjir selamat,” katanya.


Shira berkata air di Kota Baharu tiada tanda untuk 
surut dan beliau dan rakannya bercadang untuk 
berpindah ke tempat lain untuk mendapatkan tempat 
perlindungan serta makanan. - Mstar

No comments: